bertarikh 13September2010
Keseronokan menyambut Syawal ini tidak dapat diluahkan menerusi kata-kata. Namun siapa sangka rupanya itu adalah Syawal terakhir buat mereka kerana semuanya kini tinggal kenangan abadi. Seluruh negara dikejutkan dengan berita kematian Achik atau nama sebenarnya, Abdillah Murad Md Shari akibat kemalangan maut di Lebuh Raya Kajang-Seremban pada 17 April lalu.
Seperti yang kita maklum, tentunya perit bagi wanita yang mesra disapa Tasha ini berdepan pengalaman berbeza menyambut Syawal tanpa suami tercinta di sisi. Sukar untuknya membayangkan apa yang akan berlaku. Malah kesedihannya sudah dapat dirasai sejak bermulanya bulan Ramadan lagi apabila berpuasa tanpa kehadiran suami di sisi. Tambah lagi dia juga kena membesarkan anak-anak sendirian.
"Memang agak sedih apabila bersahur dan berbuka puasa hanya ditemani anak-anak. Saya memang sentiasa teringatkan kenangan ketika bersama arwah. Tidak tahulah bagaimana saya menyambut pagi Syawal.
"Saya juga tak boleh dengar lagu-lagu raya. Apabila dengar, pasti berasa hiba kerana akan mengingatkan kenangan ketika arwah masih ada.
"Saya rasa kehilangan kerana tak dapat mencium tangan arwah pada pagi raya. Kalau ikutkan, tahun ini memang kami akan beraya sebelah rumah keluarganya kerana tahun lepas giliran sebelah keluarga saya. Kalau dulu kami pakai baju raya sedondon warna oren, tahun ini cadangnya nak pakai baju warna kelabu.
"Tahun lalu kami hanya beli pakaian siap kerana tak sempat tempah. Jadi, tahun ini cadangnya kami nak buat persediaan awal dan tempah baju. Arwah pernah berkata, nak bawa kami buat persediaan dan beli pakaian awal-awal tapi hasratnya tak jadi kenyataan. Sedih bila dikenangkan perkara ini. Tahun ini kami hanya buat persiapan sederhana," katanya.
Kata Tasha, disebabkan jarak rumah keluarga mereka berdekatan, tidak jadi masalah untuk menziarahi keluarga masing-masing pada hari sama. Suasana hari raya yang dilalui begitu harmoni tanpa masalah.
"Jika dah selesai beraya di rumah keluarga saya, selepas itu kami boleh beraya di rumah keluarga arwah pula. Keluarga kami tinggal di kawasan sekitar sini juga. Bahkan selepas itu kami boleh pula berjalan sampai ke Kuala Lumpur untuk menziarahi sanak saudara dan kawan-kawan pula.
"Tapi tahun ini saya kehilangan semua itu. Paling tak boleh lupakan apabila hari raya arwah suka makan ketupat nasi dicicah dengan sambal taucu. Itulah makanan kegemarannya setiap kali hari raya. Sekarang saya macam tak sanggup nak tengok makanan-makanan kegemaran arwah kerana serta merta perasaan akan jadi sedih," katanya.
Bukan menolak ketentuan Tuhan, namun Tasha perlukan masa untuk mengubat kesedihan yang dilaluinya. Tambah lagi anaknya Putri Nur Safiyya, 2 tahun 7 bulan dan Putri Nur Sumayya, setahun dua bulan, masih lagi tercari-cari dan asyik menyebut nama ayahnya.
Anak keduanya memang begitu rapat dengan arwah. Ketika ditunjukkan album gambar Achik, dia segera memanggil nama ayahnya.
"Aidilfitri mungkin menjadi kenangan yang indah buat orang lain, tapi saya perlukan masa untuk pulihkan semangat dari semua kenangan indah dengan arwah. Kakak minta saya masak sambal taucu yang jadi kegemaran arwah untuk hari raya, tapi saya menolak kerana tak sanggup. Saya tak boleh lagi nak hadapi semua ini," katanya.
Menziarahi kubur Achik dan anak sulungnya, Putri Rania menjadi agenda utama Tasha dan anak-anak sebaik selesai menunaikan sembahyang hari raya. Di pusara suaminya inilah dia akan meluahkan perasaan yang terbuku selain mengimbas kembali kenangan indah ketika berhari raya sejak mendirikan rumah tangga hampir lapan tahun lalu.
Achik kini bersemadi di Makam Tuan Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan. Ia tidak jauh dari rumah mereka hanya kira-kira tiga kilometer dan sejak pemergian arwah, Tasha sentiasa mengunjungi pusara itu dua kali seminggu.
0 comments:
Post a Comment